| PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI

Belanjawan 2023 : Duti eksais rokok elektronik, vape diperkenalkan

Ringkasan Artikel

Belanjawan 2023 : Duti eksais rokok elektronik, vape.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Duti Eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun ini.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata biarpun vape dan rokok elektronik masih tidak sah di sisi undang-undang di negara ini, ia masih dijual secara berleluasa dengan dianggarkan nilai RM2 bilion.

Katanya, kerajaan juga bersetuju, sebanyak 50 peratus daripada duti berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), sebagai sokongan terhadap ikhtiar ke arah Generasi Penamat (GEG).

"Alangkah baiknya jika ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak digalakkan penggunaan vape.

"Kerajaan menyokong ikhtiar GEG dan bersetuju separuh daripada hasil Duti Eksais produk vape akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha meningkat kualiti perkhidmatan kesihatan dan kempen anti rokok, anti arak yang berkesan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

  

 

Pada Julai tahun lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat bagi menyelesaikan isu ketagihan produk nikotin itu.

Antaranya RUU itu memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.

Selepas tidak lagi memegang jawatan, susulan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Khairy dilaporkan berkata akan terus menyokong GEG yang dibawa KKM dan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Pada 21 Februari lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Musafa, dilaporkan berkata, KKM menyasarkan untuk menguatkuasa undang-undang kawalan produk dan tembakau, mulai tahun depan.

Berikutan itu, KKM akan membentangkan semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen, dalam masa terdekat.

Sumber dari : Berita Harian Online.

Disediakan oleh Rafidah Mat Ruzki - Februari 24, 2023 
duti eksais rokok elektronik 2023

SXDcTA6~