| PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI

GANGGUAN MUSKULOSKELETAL BERKAITAN KERJA

Ringkasan Artikel

Gangguan muskuloskeletal yang berkaitan dengan pekerjaan (WMSD) adalah sekumpulan gejala yang kurang menyenangkan melibatkan beberapa bahagian badan termasuk otot, tendon, sendi dan saraf. Beberapa contoh gangguan muskuloskeletal yang biasa ditemui adalah Carpal Tunnel Syndrome, Tendonitis, Thoracic Outlet Syndrome, dan Tension Neck Syndrome.

 

 

APAKAH ITU GANGGUAN MUSKULOSKELETAL YANG BERKAITAN DENGAN KERJA (WMSD)?

Gangguan muskuloskeletal yang berkaitan dengan pekerjaan (WMSD) adalah sekumpulan gejala yang kurang menyenangkan melibatkan beberapa bahagian badan termasuk otot, tendon, sendi dan saraf. Beberapa contoh gangguan muskuloskeletal yang biasa ditemui adalah Carpal Tunnel Syndrome, Tendonitis, Thoracic Outlet Syndrome, dan Tension Neck Syndrome.  

Aktiviti kerja yang kerap dan berulang, atau aktiviti dengan postur yang canggung boleh menyebabkan gangguan ini, yang mungkin menyakitkan semasa bekerja atau berehat. Kecederaan otot, tendon dan sendi yang disebabkan oleh penggunaan berlebihan dan kecederaan yang berlaku dari masa ke masa turut menjadi salah satu faktor penyumbang gangguan muskuloskeletal ini.

Hampir semua pekerjaan memerlukan penggunaan lengan dan tangan. Oleh itu, kebanyakan WMSD memberi kesan kepada tangan, pergelangan tangan, siku, leher, dan bahu. Penggunaan kaki yang banyak semasa bekerja boleh menyebabkan WMSD pada pinggul, peha, pergelangan kaki, dan kaki. Beberapa masalah belakang juga berpunca daripada aktiviti berulang.

 

APAKAH NAMA LAIN WMSD?

Gangguan ini juga dikenali dengan beberapa nama lain, seperti:

  • Kecederaan pergerakan berulang/Repetitive motion injuries
  • Kecederaan regangan berulang/Cumulative trauma disorders
  • Gangguan trauma kumulatif/Cumulative trauma disorders
  • Gangguan servikobrakial pekerjaan/Occupational cervicobrachial disorders
  • Sindrom berlebihan/Overuse syndrome
  • Gangguan muskuloskeletal serantau/Regional musculoskeletal disorders
  • Gangguan tisu lembut/Soft tissue disorders

 

APAKAH FAKTOR RISIKO WMSDS?

WMSD terhasil daripada aktiviti yang melibatkan pergerakan lengan dan tangan seperti membongkok, meluruskan, mencengkam, memegang, memutar, mengepalkan dan mencapai. Pergerakan biasa ini tidak begitu berbahaya dalam aktiviti kehidupan seharian. Perkara yang membuatkan ia berbahaya apabila berada dalam pergerakan kerja yang berulang dan berterusan, tekanan yang kuat, dan yang paling penting, pergerakan yang laju dan berulang menyebabkan tempoh yang terlalu singkat untuk pemulihan. WMSD dikaitkan dengan corak kerja yang merangkumi:

  • Kedudukan badan yang statik dan lama.
  • Pengulangan pergerakan yang berterusan.
  • Tumpuan tekanan terhadap bahagian badan yang kecil, seperti tangan atau pergelangan tangan.
  • Pergerakan kerja yang laju yang tidak membenarkan pemulihan yang mencukupi antara pergerakan.

 

Secara amnya, tidak ada faktor yang bertindak secara berasingan untuk menyebabkan WMSD. WMSD biasanya berlaku akibat gabungan dan interaksi di antara beberapa faktor.

Persekitaran yang panas, sejuk dan getaran juga menyumbang kepada terjadinya WMSD.

 

BAGAIMANA WMSDS TERJADI?

WMSD boleh terjadi secara beransur-ansur akibat kecederaan berulang.

WMSD merangkumi tiga jenis kecederaan:

  • Kecederaan otot.
  • Kecederaan tendon.
  • Kecederaan saraf.

 

Kecederaan otot

Apabila otot menguncup, mereka mendapatkan tenaga dari gula dan menghasilkan produk sampingan seperti rembesan asid laktik yang akan disingkirkan oleh darah. Pengecutan otot yang terlalu lama akan mengurangkan aliran darah. Akibatnya, rembesan yang dihasilkan oleh otot tidak dapat dikeluarkan dengan cepat, dan ia terkumpul di dalam otot. Pengumpulan rembesan ini menyebabkan iritasi pada otot dan seterusnya kesakitan. Keterukan kesakitan bergantung pada jangka masa pengecutan otot dan jumlah masa antara aktiviti untuk otot menghilangkan bahan-bahan rembesan ini.

 

Kecederaan Tendon

Tendon terdiri daripada serat-serat yang menghubungkan otot pada tulang. Terdapat dua kategori utama gangguan tendon yang berkaitan dengan aktiviti kerja yang berulang atau kerap dan postur yang canggung iaitu tendon bersarung (Gambar 1), yang ditemui terutamanya di tangan dan pergelangan tangan; dan tendon tanpa sarung (Gambar 2), kebiasaannya ditemui di sekitar bahu, siku, dan lengan bawah.

Tendon bersarung merupakan tendon yang diliputi oleh sarung di mana tendon boleh meluncur di dalamnya.

 

 

Gambar 1 - Tendon jari dan sarungnya

Di bahagian dalam dinding sarung dilapisi oleh sel yang menghasilkan cecair licin untuk melancarkan pergerakan tendon. Sistem pelinciran ini mungkin tidak berfungsi, atau menghasilkan cecair pelincir yang tidak mencukupi atau kurang kualiti dengan pergerakan tangan yang berulang atau berlebihan.  Kegagalan sistem pelinciran akan menimbulkan geseran antara tendon dan sarungnya, menyebabkan keradangan dan pembengkakan pada kawasan tendon. Keradangan yang berulang-ulang akan menyebabkan tisu berserabut atau fibrotic tissue terbentuk. Tisu berserabut akan menebal pada sarung tendon, dan menghalang pergerakan tendon. Keradangan sarung tendon ini dikenali sebagai tenosinovitis.

 

Gambar 2 - Tendon, otot, tulang

 

Ketika keradangan berlaku, sarung tendon boleh membengkak dan bersama-sama cecair pelincir ia membentuk ketulan di bawah kulit yang dikenali sebagai sista ganglion.

Tendon tanpa sarung adalah lebih terdedah kepada gerakan berulang dan postur yang canggung. Apabila tendon berulang kali menegang, sebahagian serat tendon boleh terkoyak. Tendon akan menebal dan bergelombang, menyebabkan keradangan. Tendonitis adalah istilah umum yang membawa makna keradangan tendon. Dalam beberapa kes, seperti di bahu, tendon melalui ruang sempit di antara tulang. Sebuah kantung yang disebut bursa dipenuhi dengan cecair pelincir terletak di antara tendon dan tulang sebagai alat anti geseran. Oleh kerana tendon menjadi semakin menebal dan bergelombang, bursa mengalami banyak geseran dan menjadi radang. Keradangan bursa dikenali sebagai bursitis.

 

Kecederaan Saraf

Saraf membawa isyarat dari otak untuk mengawal aktiviti otot. Mereka juga membawa maklumat mengenai suhu, kesakitan dan sentuhan dari badan ke otak, dan mengawal fungsi tubuh seperti peluh dan air liur. Saraf dikelilingi oleh otot, tendon, dan ligamen. Dengan pergerakan yang berulang dan postur yang canggung, tisu-tisu di sekitar saraf boleh menjadi bengkak, dan seterusnya akan menekan atau memampatkan saraf (Gambar 3A, 3B).

 

Gambar 3A - Pergelangan tangan dalam keadaan semula jadi

 

Gambar 3B - Sindrom Terowong Karpal

Saraf median yang termampat menyebabkan kelemahan otot, sensasi "pin dan jarum" dan kebas. Kulit kering dan peredaran darah yang kurang lancar ke bahagian tangan turut boleh terjadi

 

APAKAH GEJALA WMSDS?

Kesakitan merupakan gejala yang paling biasa dialami dalam WMSD. Terdapat beberapa kes ditemui mengalami kekakuan sendi, ketegangan otot, kemerahan dan pembengkakan pada kawasan yang terjejas. Sebilangan pekerja mungkin mengalami sensasi "pin dan jarum", kebas, perubahan warna kulit, dan tangan yang kurang berpeluh.

Secara berperingkat, WMSD boleh bermula dari tahap ringan hingga teruk.

Peringkat awal: Sakit dan keletihan anggota badan yang terjejas semasa shif kerja tetapi hilang pada waktu malam dan pada waktu cuti bekerja. Tidak ada penurunan prestasi kerja.

Peringkat pertengahan: Rasa sakit dan letih berlaku pada awal shif kerja dan berterusan pada waktu malam. Kurang keupayaan untuk kerja berulang.

Tahap akhir: Sakit, keletihan, dan kelemahan berterusan walau pun ketika berehat. Ketidakupayaan untuk tidur dan melakukan tugas ringan.

Tidak semua orang melalui peringkat dan cara yang sama. Agak sukar untuk dinyatakan dengan tepat bila satu peringkat berakhir dan bila peringkat yang berikutnya bermula. Kesakitan adalah isyarat awal bahawa otot dan tendon harus berehat dan pulih. Jika tidak, kecederaan boleh menjadi lama, dan kadang-kala, tidak dapat dipulihkan. Lebih awal gejala dikesan, maka lebih awal seseorang itu perlu bertindak untuk mengelakkan kecederaan menjadi bertambah teruk.

Jadual di bawah menunjukkan faktor risiko pekerjaan dan gejala gangguan yang paling biasa ditemui pada bahagian atas badan yang berkaitan dengan WMSD

 

Jenis Gangguan, faktor risiko pekerjaan dan gejala

Jenis Gangguan

Faktor risiko pekerjaan

Gejala

Tendonitis/tenosynovitis

Pergerakan berulang di pergelangan tangan

Hiperekstensi yang lama di di lengan Bebanan yang berterusan di bahu

sakit, lemah, bengkak, pedih di bahagian terjejas

Epicondylitis (elbow tendonitis)

Pergerakan berpusing yang berulangkali dengan tekanan di lengan bawah dan pembengkokan pergelangan tangan yang serentak.

Gejala yang sama dengan tendonitis

Carpal tunnel syndrome

Pergerakan pergelangan tangan yang berulang

Sakit, kebas, menyucuk, pedih, kemerosotan otot di tapak ibu jari, kering tapak tangan

DeQuervain's disease

Pergerakan pusingan tangan yang berulangkali dengan cengkaman yang kuat

Sakit di tapak ibu jari

Thoracic outlet syndrome

Lenturan bahu yang berpanjangan

Ekstensi lengan di atas paras bahu

Membawa beban di bahu

Sakit, kebas, bengkak di tangan

Tension neck syndrome

Postur statik yang terlalu lama

Sakit

 

 

 

BAGAIMANA MENGENALI WMSDS?

Penilaian WMSD adalah merangkumi aspek mengenal pasti risiko di tempat kerja. Penilaian bermula dengan perbincangan mengenai pekerjaan seseorang dan memerlukan penerangan terperinci mengenai semua proses yang terlibat dalam hari kerja biasa. Pertimbangan diberikan kepada frekuensi, intensiti, tempoh, dan keteraturan setiap tugas yang dilakukan di tempat kerja.

Diagnosis WMSD disahkan dengan melakukan ujian makmal dan elektronik yang dapat menentukan kerosakan saraf atau otot. Salah satu ujian adalah elektroneuromiografi (ENMG), yang merangkumi dua bahagian iaitu Elektromiografi (EMG) dan Halaju Konduksi Saraf (NCV). Selain daripada sinar-x, Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dapat memberikan gambaran tendon, ligamen, dan otot dan meningkatkan kualiti maklumat diagnostik.

 

BAGAIMANA WMSDS DIRAWAT?

Terdapat beberapa pendekatan dalam rawatan WMSD iaitu:

  • Menyekat pergerakan.
  • Aplikasi tuaman panas atau sejuk.
  • Senaman.
  • Ubatan dan pembedahan.

 

Menyekat Pergerakan

Pendekatan pertama bagi rawatan WMSD adalah dengan mengelakkan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan. Kebiasaannya ia melibatkan sekatan pekerjaan. Terdapat beberapa kes di mana pertukaran ke pekerjaan lain harus dipertimbangkan. Splint juga boleh digunakan untuk menyekat atau mengurangkan pergerakan sendi yang cedera. Walau bagaimanapun, penggunaan splint  dalam situasi bekerja perlu lebih berhati-hati. Sekiranya digunakan dengan tidak betul, splint boleh mengundang lebih banyak kecederaan berbanding membawa kebaikan. Splint biasanya digunakan untuk dua sebab, iaitu untuk menyokong sendi secara mekanikal di mana jangkaan beban yang berlebihan pada sendi, atau untuk menyekat pergerakan sendi yang cedera.

Dalam konteks pekerjaan, splint tidak boleh digunakan sebagai sokongan mekanikal untuk sendi. Sebaliknya, pekerjaan itu harus dirancang semula untuk mengelakkan beban yang terlalu tinggi pada sendi pekerja. Langkah yang lebih berkesan adalah dengan menghentikan atau mengubah aktiviti kerja yang boleh mencederakan sendi yang terjejas. Sekiranya aktiviti kerja yang mencederakan sendi dilakukan secara berterusan, pekerja tersebut terdedah kepada risiko kecederaan pada sendi lain kerana perlu mengimbangi kecederaan yang sedia ada.

 

Aplikasi Tuaman Panas atau Sejuk

Menyapu salap atau tuaman panas atau sejuk nampaknya dapat menghilangkan rasa sakit dan dapat mempercepat proses penyembuhan.

Tuaman sejuk dapat mengurangkan rasa sakit dan bengkak, dan disyorkan untuk kecederaan dan keradangan (tisu yang bengkak, merah, panas dan meradang). Penggunaan ais tidak digalakkan sekiranya sakit otot (kekejangan) kerana suhu sejuk akan mengecutkan otot. Penggunaan ais pada otot yang tercedera disarankan hanya setelah kecederaan baru berlaku, dan untuk beberapa hari sahaja.

Tuaman panas disarankan untuk melegakan sakit otot. Haba dapat meningkatkan aliran darah yang memudahkan penghapusan pengumpulan asid laktik. Ia tidak disyorkan untuk kecederaan dengan keradangan dan pembengkakan yang ketara.

 

Senaman

Regangan membantu melancarkan peredaran dan mengurangkan ketegangan otot. Walau bagaimanapun, individu yang mengalami WMSD harus berjumpa dengan ahli fisioterapi sebelum bersenam. Program regangan atau senaman boleh memburukkan kecederaan sedia ada sekiranya  tidak dirancang dengan betul.

 

Ubatan dan Pembedahan

Ubat anti-radang dapat mengurangkan kesakitan dan keradangan. Doktor akan memberikan rawatan yang lebih terperinci, atau pembedahan jika semua pendekatan lain gagal.

 

BAGAIMANA KITA DAPAT MENCEGAH WMSDS?

Langkah terbaik adalah dengan menghapuskan hazad pada puncanya. Ini adalah prinsip asas kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Dalam kes WMSD, sumber utama bahaya adalah aktiviti kerja yang berulang-ulang. Komponen lain seperti bebanan tekanan, kedudukan badan yang statik, dan kadar kelajuan aktiviti kerja juga merupakan faktor penyumbang. Oleh itu, usaha utama untuk melindungi pekerja dari WMSD adalah fokus untuk mengelakkan corak kerja yang berulang melalui reka bentuk pekerjaan yang merangkumi penggunaan alat mekanikal, penggiliran kerja, atau kerja berpasukan. Strategi pencegahan yang melibatkan susun atur tempat kerja, reka bentuk alat dan peralatan, dan amalan kerja harus dipertimbangkan sekiranya corak kerja berulang tidak mungkin atau tidak praktikal untuk dihapuskan.

 

Reka Bentuk Pekerjaan

  1. Pengunaan Alat Mekanikal

Salah satu cara untuk menghilangkan tugas yang berulang adalah dengan penggunaan alat mekanikal.  Gunakan alternatif lain sekiranya mekanisasi tidak sesuai atau tidak dapat dilaksanakan.

    2. Penggiliran Kerja

Penggiliran kerja adalah satu pendekatan yang boleh diamalkan. Ia memerlukan pekerja bergilir di antara tugas yang berbeza, pada jangka masa tetap atau tidak tetap. Tugas yang berbeza mestilah melibatkan kumpulan otot yang berbeza bagi membolehkan pemulihan pada otot yang sudah mengalami tekanan.

Walau bagaimanapun, penggiliran pekerjaan sahaja tidak akan berkesan dalam mengurangkan WMSD jika tidak digabungkan dengan reka bentuk stesen kerja yang betul. Ia juga tidak akan berkesan sekiranya kadar pergerakan kerja yang masih tinggi dan berterusan.

    3. Kerja Berpasukan

Kerja berpasukan dapat memberikan pergerakan otot yang lebih pelbagai dan penggunaan yang lebih seimbang. Keseluruhan pasukan terlibat dalam perancangan dan peruntukan kerja. Setiap anggota pasukan melakukan satu set operasi untuk menyelesaikan keseluruhan produk, yang membolehkan pekerja bergantian antara tugas, dengan itu, mengurangkan risiko WMSD.

 

Reka Bentuk Tempat Kerja

Prinsip asas dalam merekabentuk tempat kerja adalah menyesuaikan tempat kerja dengan pekerja. Penilaian di tempat kerja dapat mengenal pasti punca WMSD. Reka bentuk stesen kerja yang betul dapat mengurangkan usaha yang diperlukan oleh pekerja untuk mengekalkan posisi tubuh semasa bekerja. Idealnya, stesen kerja mestilah boleh diubah mengikut kesesuaian pekerja dengan pilihan samada untuk bekerja dalam posisi berdiri, duduk atau duduk-berdiri, serta sesuai dengan ukuran dan bentuk badan pekerja.

 

Reka Bentuk Alat dan Peralatan

Reka bentuk alat dan peralatan yang betul dapat mengurangkan bebanan yang diperlukan untuk menyelesaikan tugas.

Menyediakan pekerja dengan jig atau alat yang sesuai untuk tugas yang memerlukan elemen memegang dapat mengurangkan beban terhadap otot, lebih-lebih lagi dalam posisi yang canggung.

Menggunakan peralatan yang sesuai, yang diselenggara dengan baik dan ditukarganti mengikut keperluan dapat membantu mengelakkan ketegangan otot.

 

Amalan Kerja

Aktiviti kerja yang dirancang dengan baik, disokong oleh reka bentuk peralatan dan tempat kerja sesuai dapat mengelakkan pergerakan tidak perlu pada leher, bahu dan anggota atas pekerja. Latihan harus diberikan kepada pekerja yang terlibat dalam aktiviti kerja yang berulang. Pekerja perlu mengetahui cara untuk menyesuaikan stesen kerja agar sesuai dengan tugas dan diri masing-masing. Latihan juga harus menekankan betapa pentingnya waktu rehat dan mengajar bagaimana memanfaatkan jangka masa yang pendek antara tugas untuk merehatkan otot, dan bagaimana untuk mengawal ketegangan otot semasa bekerja.

Tingkatkan komunikasi dan berikan sokongan kepada pekerja dalam usaha memperbaiki amalan di tempat kerja dapat membantu meningkatkan kepuasan pekerja dan mempunyai kesan positif untuk mengurangkan risiko WMSD.

 

 

 

disediakan oleh

Dr Arma Noor
Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan
Pusat Kesihatan Universiti
Universiti Putra Malaysia

17 November 2021

 

Rujukan

https://www.ccohs.ca/oshanswers/diseases/rmirsi.html

SXETNAd~