HARI TIBI SEDUNIA 2024 | PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » HARI TIBI SEDUNIA 2024

HARI TIBI SEDUNIA 2024

'HARI TIBI SEDUNIA 2024'

Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac Mac setiap tahun bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Tujuan sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan terhadap usaha-usaha pencegahan dan kawalan penyakit Tibi yang dilakukan di seluruh negara.

Pada tahun 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 10.6 juta kes Tibi di seluruh dunia dan 1.6 juta kematian. Di Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk) dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17%) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2021.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden Tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100 ribu penduduk (30,000 kes setahun). Namun demikian, kadar insiden yang dilaporkan di negara ini masih rendah berbanding anggaran WHO tersebut. Sehubungan itu, usaha bagi saringan awal penyakit Tibi melibatkan individu yang mempunyai risiko tinggi seperti kontak kepada kes Tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik, perokok aktif dan penghuni institusi tahanan perlu dipertingkatkan.Pengesanan awal dan rawatan bagi penyakit Tibi adalah penting bagi kesembuhan dan mengelakkan komplikasi yang boleh menyebabkan kematian.

Tanda dan gejala penyakit Tibi adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Individu yang mempunyai simptom diminta menjalani pemeriksaan awal di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

Rawatan bagi penyakit Tibi adalah kombinasi empat jenis antibiotik dan perlu diambil secara berterusan selama enam bulan. KKM menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan. Sokongan ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan.

Salah faham berkaitan penyakit Tibi serta stigma terhadap pesakit dan keluarga perlu dihentikan.

 

Bahagian Kesihatan Awam,
Pusat Kesihatan Universiti,
Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 26/03/2024 | Kemaskini: 26/03/2024 | izzatussofia

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KESIHATAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697342
.
SXEcFAY~